AirAsia Tandakan Kepulangan Bersejarah Ke Lapangan Terbang Subang Dengan Penerbangan Pertama Ke...

AirAsia Tandakan Kepulangan Bersejarah Ke Lapangan Terbang Subang Dengan Penerbangan Pertama Ke Sabah, Sarawak

0
SHARE
Airasia
Tony bergambar bersama kakitangan AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) - ( Sumber Foto: Ihsan AirAsia )

SUBANG, SELANGOR – AirAsia hari ini memulakan operasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dengan penerbangan pertama ke Sabah dan Sarawak.

Dua penerbangan ini menandakan peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu dengan menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.

Penerbangan pertama AK4102 dari Kota Kinabalu berlepas pada jam 6:25 pagi dan telah tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 9:00 pagi.

Pesawat tersebut disambut dengan pancuran air semasa ketibaan serta diraikan oleh pihak pengurusan Capital A dan AirAsia. Sambutan tersebut diikuti dengan majlis perlepasan penerbangan AK4235 ke Kuching dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9:30 pagi.

Penyambungan semula perkhidmatan penerbangan AirAsia ke Lapangan Terbang Subang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan dalam negara dan di rantau ini.

Pada tahun 2023, syarikat penerbangan ini telah membawa lebih daripada 14 juta tetamu di seluruh rangkaian domestik dengan 918 penerbangan mingguan.

Dengan penambahan operasi di Subang, syarikat penerbangan ini berhasrat untuk meningkatkan lagi jumlah penumpang domestiknya.

Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group berkata Lapangan Terbang Subang sentiasa mempunyai tempat istimewa di hatinya.

“Di sinilah kami memulakan langkah pertama sebagai sebuah syarikat penerbangan kecil dengan impian yang besar.

“Hari ini kami kembali dengan semangat dan harapan yang sama beserta pengalaman dan cita-cita yang jauh lebih besar untuk menerokai peluang pertumbuhan baharu bagi AirAsia dan Capital A.

“Pelan pembangunan semula Lapangan Terbang Subang dijangka merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

“Penyambungan semula perkhidmatan pesawat satu lorong di sini adalah langkah ke arah memodenkan lapangan terbang bersejarah ini sebagai terminal bandar berpotensi tinggi yang akan berfungsi sebagai hab untuk pengembara perniagaan.

“AirAsia kini berada di kedudukan terbaik untuk mengembangkan perkhidmatan melalui perniagaan Capital A lain seperti Teleport, MOVE, Asia Digital Engineering, Santan, GTR dan lain-lain, serta komited untuk menyumbang kepada transformasi penting dalam industri penerbangan negara,” katanya.