KOTA KINABALU, SABAH – Sambutan Hari Sabah lebih bermakna kerana ia diraikan bersama-sama dengan Hari Kebangsaan mulai tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata tarikh 31 Ogos setiap tahun adalah penting dan berakar umbi dalam sejarah, bukan sekadar untuk mengenang dan meraikan tetapi untuk dihayati dalam semangat patriotisme serta menghargai keberanian dan pengorbanan besar pejuang kemerdekaan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia di Sabah supaya terus menjaga kedaulatan negara disamping menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah dengan penuh semangat serta rendah diri kerana kemerdekaan adalah anugerah tidak ternilai.
“Perkara yang menyatukan kita – keamanan, keharmonian, perpaduan dalam kepelbagaian dan aspirasi kita untuk kemajuan dan pembangunan jauh mengatasi perkara yang memecahbelahkan kita.
“Marilah sematkan dalam hati sanubari kita bahawa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah adalah milik kita. Marilah kita berdiri teguh menyokong kerajaan dan tidak terpengaruh dengan perkara negatif yang mengancam untuk memecahbelahkan kita,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024.
Hajiji berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan 2024 “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan masyarakat yang adil dan makmur.
Katanya, ia juga melambangkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang unsur negatif dalam mentafsir patriotisme dan cintakan negara.