KUALA LUMPUR, SABAH – Ahli Parlimen Borneo digesa untuk memulihkan jumlah kerusi parlimen Wilayah tersebut kepada 35 peratus daripada jumlah keseluruhan seperti yang diputuskan ketika penubuhan Malaysia 59 tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, sejak akhir-akhir ini, penggubal undang-undang dari Sabah dan Sarawak mula menuntut semakan semula bilangan kerusi parlimen bagi kedua-dua negeri.
“Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15), mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi parlimen…
Manakala, baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah Tanah Melayu. Malaya tidak memiliki majoriti dua per tiga ketika itu.
“Tetapi apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi milik Singapura sepatutnya diberikan kepada Sabah dan Sarawak, untuk mengekalkan 35 peratus perwakilan,” kata Ongkili, dalam ucapan penggulungannya pada Khamis.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu menambah bahawa cadangan pemulihan kerusi telah diperakui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 2012 yang dipengerusikannya sendiri sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ketika itu.
“Saya juga ingin mencadangkan agar semua Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membincangkan tuntutan ini secara terbuka dan teratur, dan keputusan diambil bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau menambah bahawa Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan berhubung dengan ahli-ahli parlimen dari Borneo untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut, manakala tuntutan itu juga harus dibentangkan di dewan undangan negeri Sabah dan Sarawak.
“Tugas utama adalah untuk meyakinkan SPR tentang keperluan untuk memulihkan bahagian asal kerusi parlimen untuk Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegas Ongkili.
Berdasarkan pengiraan semasa, daripada 222 kerusi parlimen, 166 ataupun 75 peratus berada di Semenanjung Malaysia manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi adalah untuk negeri Borneo, dengan Sarawak (31) dan Sabah (25).