BEAUFORT: Pemimpin akar umbi perlu terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan dasar serta agenda pembangunan disampaikan dengan tepat, sekali gus memperkukuh kepercayaan masyarakat.
Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang berkata, pemimpin masyarakat berada di barisan hadapan dan menjadi saluran utama penyampaian maklumat sahih, terutama dalam era media sosial yang dipenuhi maklumat tidak tepat.
“Pemimpin masyarakat perlu bertanggungjawab menyemak kesahihan maklumat sebelum dikongsikan. Berita palsu dan fitnah boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan,” katanya ketika menangguhkan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Dewan Pa Musa, pada Rabu.
Kira-kira 900 peserta terdiri daripada PPM, Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, JKKK dan JKDB menghadiri seminar anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah itu.
Awang Kadin turut menegaskan kepentingan menghayati prinsip Rukun Negara serta mengamalkan nilai hormat, toleransi dan perpaduan dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya hanya dapat direalisasikan jika pemimpin akar umbi terus berintegriti dan berperanan sebagai jambatan kukuh antara kerajaan dan rakyat.
“Saya berharap seminar ini dapat meningkatkan kefahaman terhadap dasar kerajaan serta melahirkan masyarakat berinformasi dan berintegriti,” katanya.






