KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) memberi tempoh tujuh hari kepada Ketua Penerangan Parti Warisan Datuk Mohd Azis Jamman untuk permohonan maaf secara terbuka atau akan bertindak menyaman sebanyak RM150 juta.
Ini berlaku selepas G57 membuat laporan polis pada Khamis (4 Jan) untuk menyiasat dakwaan kaitan dan pembiayaan yang diterima oleh Warisan daripada kartel dadah yang dilumpuhkan baru-baru ini diketuai oleh seorang ‘Datuk’ tempatan.
Azis, dua hari kemudian, mengugut untuk menyaman Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar, RM100 juta kerana fitnah.
Zulkarnain berkata, beliau tidak pernah menyebut nama Azis Jamman dan juga tidak pernah memfitnah sepanjang 30 tahun menjadi aktivis politik.
“Kenyataannya jelas berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi saya. Semua kenyataan saya adalah berdasarkan fakta.
“Saya tidak perlu mahupun berniat untuk meminta maaf kepadanya. Saya hanya membawa maklumat yang diterima kepada perhatian polis.
“Seorang individu yand tidak dikenali mendakwa Parti Warisan dibiayai oleh kartel dadah semasa Pilihan Raya Umum ke-15 dan ke-16.
“Saya juga diberitahu bahawa pejabat Warisan Sepanggar di Alam Mesra juga dimiliki oleh kartel yang sama.
“Apabila menerima maklumat itu, saya hanya bertindak membuat laporan polis bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.
“Saya dengan jelas menyatakan bahawa hanya polis yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada maklumat yang saya terima adalah benar atau sebaliknya,” kata Zulkarnain dalam satu kenyataan.
Beliau berkata surat tuntutan akan dihantar kepada Azis dan satu lagi laporan polis akan dibuat terhadapnya kerana fitnah selain meneruskan saman yang seumpama yang dibuat pada Dis 2017.
Zulkarnain berkata beliau bersedia berdepan dengan Azis di mahkamah kerana percaya beliau berada di pihak yang benar.
Beliau menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pejabat Pendaftaran Pertubuhan dan Jabatan Peguam Negara perlu mengambil tindakan terhadap Warisan termasuk membatalkan pendaftaran parti politik itu jika didapati bersalah.