KUDAT, SABAH – Empat sekeluarga yang terperangkap dalam air banjir ketika berkebun di Kampung Pomonsukan, diselamatkan pasukan Bomba semalam.
Mangsa insiden 2.18 petang terbabit merupakan seorang wanita 34, dan lelaki, 55, 37 dan 26 tahun.
Sepasukan tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kudat bergegas ke lokasi dalam jentera Toyota Vigo.
“Pasukan bomba bertindak menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali penyelamat dan pelampung untuk menyeberangi sungai.
“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan dipindahkan ke kawasan yang selamat,” kata seorang jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Operasi ditamatkan pada jam enam petang setelah memastikan tiada bahaya lain.