Tarif Elektrik Di Sabah Masih Sama – SESB

Tarif Elektrik Di Sabah Masih Sama – SESB

0
SHARE
Sesb
Logo SESB ( Sumber Foto: Gambar Google )

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjelaskan tarif elektrik yang dikenakan ke atas pengguna dari 1 Januari hingga 30 Jun 2024 adalah pada kadar 7.21 sen/kilowatt-jam (kWj).

Memetik sumber New Straits Times, sejak sidang khas negeri pada 3 Januari bagi membincangkan isu elektrik, terdapat kenyataan daripada beberapa penggubal undang-undang yang mendakwa bahawa tarif elektrik dinaikkan kepada RM7.21/kWj.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Mohd Yaakob Jaafar, berkata kekeliruan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

“Mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak (ICPT) yang dilaksanakan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah dalam pengiraan sen dan bukannya ringgit.

“ICPT adalah mekanisme yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan Suruhanjaya Tenaga (ST) mulai 1 Januari 2022, di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

“Bagi Sabah dan Labuan, IBR dilaksanakan mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024 untuk tempoh kawal selia pertama (RP1) selama tiga tahun.

“Bagaimanapun, rebat atau surcaj ICPT tidak dikenakan sehingga 2022 kerana kerajaan menyerap kos ICPT,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pada 1 Januari 2023, surcaj ICPT mula dikenakan pada kadar 10.04 sen/kWj bagi tempoh enam bulan sehingga Jun 2023.

“Kadar itu turun kepada 2.11 sen/kWj untuk tempoh dari 1 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menyerap kos subsidi elektrik sebanyak RM161.70 juta untuk kategori pengguna tertentu bagi meminimumkan kesan ICPT.

“Ini bermakna hampir semua pengguna domestik dan voltan rendah bukan domestik tidak akan terjejas dengan pelaksanaan surcaj ICPT terbaru berkenaan,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa kawal selia, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) akan menyemak semula rebat atau caj setiap enam bulan.