
KOTA KINABALU, SABAH – Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sabah sempean Sambutan Ulang Tahun Rasmi Ke-70 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah semalam menyaksikan seramai 50 individu menerima anugerah masing-masing.
Mendahului senarai penerima ialah ahli perniagaan, Datuk Tang Yong Chew yang menerima darjah kebesaran Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran “Datuk Seri Panglima”.
Pengurniaan disusuli dengan 44 penerima darjah kebesaran kedua tertinggi iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), antaranya Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Phoong Jin Zhe, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu.
Turut menerima PGDK, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Samad Jambri, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Hendrus Anding, Panglima Lima Divisyen Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya, Hakim Mahkamah Tinggi Sandakan Datuk Celestina Stuel Galid, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Asits Sanna bersama 31 penerima lain.
Istiadat pengurniaan disempurnakan oleh Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang turut diserikan dengan kehadiran isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu.
Pada istiadat tersebut, Tun Juhar turut mengurniakan watikah pelantikan sebagai Jaksa Pendamai (JP) kepada Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari serta tiga penerima lain. — JABATAN PENERANGAN SABAH





