KOTA KINABALU, SABAH – Tiga (3) kluster baharu dilaporkan pada kelmarin (Ahad) dengan peningkatan satu (1) kes COVID-19 daripada semalam membawa kepada jumlah 190 KES baharu.
‘Kluster Kuarters Bata Durok’ melibatkan penularan dalam komuniti di Mukim Lingkudau, Luagan dan Patikang di Daerah Keningau.
Kluster ini mula direkodkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks, lelaki, warganegara, 69, dari Taman Keningau Ville pada 23 Jun.
“Berdasarkan siasatan awal, aktiviti sosial iaitu penjualan nombor ekor haram dipercayai menjadi punca jangkitan merebak kepada ahli keluarga seterusnya komuniti,” kata Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
‘Kluster Linau Kumpang’ di Kota Belud pada hari ini mencatat 13 kes baharu, menjadikan jumlah terkini kes positif COVID-19 sebanyak 30 kes.
“Kes indeks merupakan wanita, warganegara, 40, yang mempunyai gejala demam, selsema dan hilang deria bau sejak 11 Jun sebelum disahkan positif dua hari selepas itu…
“Berdasarkan siasatan awal, kes indeks yang berasal dari Kg Ejuk berkemungkinan mendapat jangkitan daripada komuniti ketika menziarahi keluarganya, di Kg Linau Kumpang pada 10 Jun,” katanya.
‘Kluster Tembok’ di Kota Kinabalu yang tular ke daerah Papar dan Penampang berlaku dalam kategori golongan berisiko di Penjara Pusat Kepayan, Kota Kinabalu.
Kes indeks ialah banduan lelaki, warganegara Indonesia, 24, yang disahkan positif pada 17 Jun.
“Berbanding 419 sampel yang telah diambil, 31 kes termasuk 13 kes baharu pada hari ini didaftarkan di Kota Kinabalu, manakala 255 sampel didapati negatif serta 133 sampel masih menunggu keputusan…
“Kerajaan Negeri telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperluaskan di Penjara Kepayan merangkumi kuarters Penjara di Kg Matambai Penampang kerana berlaku penularan kes berkuat kuasa 28 Jun hingga 11 Julai,” jelas Masidi.
Dalam pada itu, dua (2) lokaliti di Kota Belud, Kampung Nahaba Tegudon, dan Kampung Linau dilaksanakan PKPD bermula dari 29 Jun sehingga 12 Julai.
Dalam perkembangan lain pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19), mendapati sejak kebelakangan ini banyak berlaku penularan COVID-19 yang berpunca dari kilang-kilang.
“Perkara ini perlu dibendung dengan pematuhan SOP sepenuhnya. Sehubungan itu, semua pengurus kilang diminta untuk memastikan SOP ini dipatuhi dan mencadangkan agar ruang atau tempat rehat/makan (pantry) tidak menjadi tempat pertemuan atau perkumpulan pekerja…
“Agensi-agensi penguatkuasa diminta untuk memperhebatkan lagi pemantauan ke atas pematuhan SOP di sektor perkilangan dan mengenakan kompaun kepada yang tidak mematuhi SOP,” tambah Masidi.