Kita Tidak Boleh Bergantung Sepenuhnya Pada MySejahtera – Bung

Kita Tidak Boleh Bergantung Sepenuhnya Pada MySejahtera – Bung

0
SHARE
Bung bersama rombongan menaiki sampan untuk ke kampung Balat dan Sangau untuk menjayakan program program Outrecah Vaksinasi COVID-19...

KINABATANGAN, SABAH – Pemberian vaksin melalui ‘Program Outreach’ di kawasan luar bandar khususnya yang tidak mempunyai akses kesihatan dan masalah perhubungan jalan raya memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dicegah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemberian suntikan vaksin melalui program ini yang bakal dilaksanakan secara menyeluruh bermula Julai ini dijamin mengembalikan norma kehidupan rakyat seperti sediakala.

“Saya yakin apabila program ini dilaksanakan sepenuhnya kehidupan kita akan kembali normal dan pelbagai sektor yang terjejas akibat penularan Pandemik COVID-19¬†akan kembali pulih,” katanya selepas menghadiri program outreach Vaksinasi COVID-19 dan penyampaian bakul makanan di kampung Balat dan Sangau kelmarin.

Bung turut melakukan pemeriksaan darah semasa program program Outrecah Vaksinasi COVID-19 di kampung Balat…
Bung menyampaikan bantuan bakul makanan kepada salah seorang penduduk di kampung Sangau…

Hadir sama Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap Abdul Rahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Lamag Abu Bakar Gafar.

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, usaha perlu dilipat gandakan dalam memberi penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan vaksin dan pendaftaran mereka sebagai penerima.

Katanya kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta diperlukan untuk menjayakan proses Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang masih rendah khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar di negeri ini.

Menurut Bung antara punca hal ini berlaku terutamanya di luar bandar ialah kurangnya maklumat yang tepat mengenai kebaikan vaksin selain kekangan perhubungan.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendaftaran melalui MySejahtera sahaja, ini kerana ada kawasan di luar bandar yang tiada akses internet justeru peranan pemimpin masyarakat akar umbi bagi memberikan penjelasan tentang kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima penting bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin,” katanya.

Bung menyaksikan proses pemberian vaksin kepada penduduk di kampung Balat…

Mengulas mengenai kehadiran ramai masyarakat luar bandar khususnya di Kinabatangan untuk mendapatkan suntikan vaksin pada siri program outreach yang dilaksanakan berbanding jumlah dos vaksin yang dibekalkan, Bung yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, perkara itu juga berlaku di negara-negara lain.

Bagaimanapun, beliau yakin ketibaan bekalan dos vaksin pada Julai ini dijangka mampu mencapai 85 peratus (85%) sasaran rakyat diberikan suntikan vaksin pada Oktober nanti.