Pembayaran Elaun JPKK Di Sabah Akan Dibuat Penambahbaikan

Pembayaran Elaun JPKK Di Sabah Akan Dibuat Penambahbaikan

0
SHARE

KIULU, SABAH – Pembayaran elaun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini akan dibuat penambahbaikan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kementeriannya telah merangka takwim yang mana elaun JPKK dibayar pada tarikh yang sama dengan pembayaran gaji kakitangan kerajaan dan ketua kampung.

“Ini adalah satu penambahbaikan kerana satu waktu dulu, ini sering menjadi keluhan JPKK di mana mereka mempunyai tunggakan-tunggakan elaun sehingga berbulan-bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JPKK bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu di Dewan Masyarakat Kiulu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLBS), Tn Hj Faimin Kamin, Pegawai Daerah Tuaran, Sadan Hussain, Ketua Polis Daerah Tuaran, DSP Mohd Hamizi Halim, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Justin Ginduk, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu, Golubi Guntarek, PPM Tamparuli, Madin Anak, Setiausaha Politik KPLBS, Jilias Lintar, dan Ketua Daerah Kiulu, Kumin Gabpai.

Menurutnya, setakat ini, lebih 49 peratus (49%) watikah pelantikan telah disampaikan kepada pengerusi JPKK di seluruh Sabah.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, berkata, kementeriannya juga sudah merangka untuk memberi kursus kepimpinan kepada semua badan JPKK terpilih di Sabah.

“Ini bagi memastikan sebanyak 2853 badan JPKK di negeri ini dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan dengan prihatin, adil, jujur, setia dan mesra rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan kepada semua pemimpin JPKK yang hadir untuk memberi perkhidmatan yang terbaik di samping sentiasa berlaku adil kepada rakyat.

“Apabila kita berlaku adil, maka khidmat kita juga tidak akan ada sempadannya,” ujar Jahid.

Terdahulu, Adun Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata, sebagai pemimpin, Pengerusi JPKK perlu bersedia untuk menerima segala kritikan dengan hati terbuka.

“Jangan lemah semangat dengan apa juga kritikan, sebaliknya kita bertindak balas dengan memberi khidmat yang terbaik,” katanya.

Pada majlis tersebut, Jahid menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 94 Pengerusi JPKK dari kawasan DUN Kiulu.