4 PATI Diusir Keluar, Seorang Ditahan Kerana Miliki Dadah

4 PATI Diusir Keluar, Seorang Ditahan Kerana Miliki Dadah

0
SHARE

LAHAD DATU, SABAH – EMPAT (4) warga Filipina telah cuba menyusup masuk secara haram melalui perairan negara namun telah berjaya diusir keluar menerusi Op Benteng Covid oleh Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu, hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu, Superintendent Gan Ping Sin berkata; “Semasa membuat rondaan dikawasan tanggungjawab, dua buah bot ronda dari Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu telah mengesan (2) buah pump bot berada dalam keadaan mencurigakan dari perairan negara jiran masuk ke perairan negara sebelum berjaya dipintas di perairan Laut Tungku dan perairan Laut Merabung.

“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki dewasa berada di dalam salah satu pump bot tersebut manakala dua lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa berada didalam pump bot yang lain. Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya mendakwa berasal dari Paguan, Filipina dan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah semasa diperiksa oleh pihak polis. Mereka kemudiannya diarahkan untuk berpatah balik dengan diiringi oleh PPM sehingga keluar dari perairan negara.”

Dalam kejadian berasingan, bertindak atas maklumat orang awam, sebuah pump bot yang dinaiki oleh seorang lelaki warga Filipina (PATI) berjaya ditahan oleh PPM Lahad Datu di kawasan muara sungai Sabah Baru pagi ini.

Katanya lagi; “Hasil pemeriksaan keatas lelaki tersebut telah menemukan satu gulung aluminium foil dan satu paket kecil lutsinar berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis Syabu. Lelaki tersebut juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri semasa diperiksa polis. Tangkapan dan rampasan kemudiannya dirujuk ke Bahagian Siasatan Narkotik IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut.”

Pasukan Polis Marin Lahad Datu sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab menguatkuasa undang-undang dan amat mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi WhatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu di talian 013-9808084 agar tindakan dapat dilaksanakan.