PUTATAN: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM11.15 juta bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek landskap di seluruh Sabah bagi tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan dana daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan akan diagihkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur hijau demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, peruntukan ini selaras dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah yang menekankan kepentingan kelestarian, keindahan persekitaran dan keseimbangan ekologi dalam pembangunan bandar dan luar bandar.
“Saya memahami keperluan peruntukan bagi PBT dalam usaha membangunkan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur hijau demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Oleh yang demikian, seiring dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah, sebanyak RM11,150,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan projek landskap pada tahun 2025,” katanya ketika menyampaikan Amanat Khas Menteri sempena Program “I P.L.A.N.T.” di Taman Pasir Putih Fasa 1, di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.
Program “I P.L.A.N.T.” (Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah) merupakan satu daripada langkah kementerian untuk memperkasa kelestarian landskap negeri Sabah melalui kolaborasi erat bersama PBT.
Dr. Joachim berkata, program ini bukan sekadar simbolik penanaman pokok, tetapi merupakan agenda strategik yang menyumbang kepada sasaran jangka panjang pembangunan mampan dan ekonomi hijau.
Setakat Disember 2024, sebanyak 331,151 pokok telah ditanam di bawah program ini, namun angka itu masih jauh dari sasaran 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033, yang diumumkan sejak pelancarannya pada tahun 2020.
“Angka ini menunjukkan masih banyak lagi perlu dilakukan, dan saya menyeru semua PBT untuk terus mempergiatkan kempen penghijauan serta melaksanakan sendiri inisiatif penanaman pokok di kawasan masing-masing,” katanya.
Selain penanaman pokok, kementerian juga giat menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan seperti Festival I-HIJAU KKTP, Bengkel Resolusi Hijau, serta jelajah bersama PBT ke pelbagai daerah untuk mempromosikan amalan hijau di peringkat akar umbi.
Kata beliau, kementerian turut memperkenalkan program komuniti seperti Kebun Komuniti dan Rakan Lestari, sebagai usaha untuk menggalakkan penglibatan masyarakat secara langsung dalam menjaga dan memelihara kelestarian persekitaran.
Dr. Joachim berkata, antara prinsip utama yang ditekankan kementerian ialah ekonomi kitaran lestari, yang melibatkan penggunaan sumber secara bijak, pengurangan jejak karbon, pembangunan teknologi hijau dan pemeliharaan alam sekitar.
Beliau juga menekankan kepentingan penerapan elemen kejiranan hijau dalam reka bentuk pembangunan perumahan dan bandar, termasuklah penggunaan tenaga boleh diperbaharui, bahan binaan mampan dan penyediaan ruang hijau awam.
Katanya lagi, kementerian turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai program seperti Agenda Komuniti Lestari, projek Low Carbon Schools dan pelaksanaan SDG Roadmap dan Voluntary Local Review (VLR) di lima PBT terpilih di Sabah.
“Semua ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu untuk menjadikan Sabah sebagai negeri taman terindah, yang bukan sahaja indah dari segi landskap tetapi juga lestari dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.
Merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menyokong inisiatif ini, termasuk agensi kerajaan, wakil-wakil PBT dan komuniti setempat, Dr. Joachim menyeru semua pihak agar berganding bahu, memperkukuh komitmen dan terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi kemajuan dan kelestarian Sabah.