91 PATI Ditangkap dalam Operasi JIM di Keningau, Tawau

91 PATI Ditangkap dalam Operasi JIM di Keningau, Tawau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 91 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di daerah Keningau dan Tawau pada 12 dan 13 Februari lalu.

Operasi yang dijalankan hasil maklumat dan aduan awam itu melibatkan seramai 35 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan JIM Keningau dan Tawau.

Menurut kenyataan JIM Sabah, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 157 individu di beberapa lokasi berasingan, sebelum 91 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Filipina dan Indonesia dan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana berada di Malaysia tanpa dokumen sah.

JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Agensi itu turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan,” menurut kenyataan itu.