Seorang Maut, Tiga Cedera Dalam Nahas Kemalangan di Jalan Sindumin

Seorang Maut, Tiga Cedera Dalam Nahas Kemalangan di Jalan Sindumin

0
SHARE

SIPITANG: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Land Cruiser Prado dan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan besi di Kampung Lingkungan Ulu, Jalan Sindumin petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 3.37 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 14 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, PBKI KUP Sahdan Basar, pihaknya tiba di lokasi pada jam 3.50 petang dan segera melaksanakan operasi menyelamat.

“Empat mangsa lelaki berjaya dikeluarkan dari kenderaan terlibat. Seorang daripada mereka, berusia 45 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiga lagi mangsa yang berusia antara 47 hingga 66 tahun mengalami kecederaan, dua daripadanya cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital berhampiran menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi turut dibantu oleh lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima petugas KKM.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.50 petang setelah pasukan bomba memastikan tiada lagi ancaman di lokasi kejadian.