KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi Celcom Axiata menjalin kerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) untuk membantu pelajar serta golongan terkesan akibat penularan COVID-19 di kawasan pedalaman di Pitas, Sabah.
Menerusi kerjasama itu, Celcom Axiata dan MRA membantu memberikan sokongan kemanusiaan dan bantuan alat bantu mengajar di Sekolah Kebangsaan Dallas, Pitas.
Memetik laporan BH Online, Pengurus Jualan Celcom Sabah, Melvin Jeffrine Mojinun berkata bantuan pendidikan dan komunikasi itu disalurkan dalam bentuk empat komputer riba dan modem internet bagi kegunaan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Dallas.
“Kami turut menyalurkan bantuan makanan asas kepada penduduk di empat kampung di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Pengerusi MRA Sabah, Mohd Lutfi Hafifi Japili, memaklumkan Celcom sebelum ini menyumbangkan hampir 1,300 pek bantuan makanan asas kepada penduduk terjejas di Sabah.
“Ia digerakkan melalui program kerjasama kemanusiaan bersama MRA, termasuk dalam misi kemanusiaan di Pitas kali ini…
“Usaha ini akan diteruskan lagi untuk beberapa fasa bersama MRA sabah bagi pemulihan pasca pandemik COVID-19 tahun ini dan tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman, berkata MRA sudah menyalurkan sumbangan bernilai hampir RM13 juta di seluruh Malaysia sejak misi kemanusiaan COVID-19 digerakkan awal tahun ini, manakala MRA Sabah mengagihkan hampir 15 ribu pek makanan sejak misi dilaksanakan.
Pada masa sama, katanya, program yang digerakkan di Pitas juga mendapat sokongan dan bantuan logistik daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, khususnya Team Taawun Tabligh dan Islamic Relief Malaysia.
“MRA Sabah juga melancarkan Tabung Operasi COVID-19 2.0 bagi membantu mereka yang terjejas dengan pandemik ini dan orang awam boleh menyumbang terus ke akaun Malaysian Relief Agency Sabah (Maybank)…
“Buat masa ini, MRA Sabah membuka lima pusat operasi COVID-19 di Tawau, Beaufort, Kota Kinabalu , Sandakan dan Labuan untuk penghantaran bantuan. Sebarang pertanyaan boleh berhubung di talian 013-3373316,” katanya.





