KOTA KINABALU, SABAH – Seorang anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM1,500 daripada seorang individu yang telah melakukan kesalahan maritim.
Lelaki berusia 28 tahun yang bertugas di Kota Kinabalu itu telah ditahan kira-kira pukul 7.30 petang semalam di Sepangar di sini.
Menurut sumber, wang tersebut ialah sebagai sogokan agar suspek tidak mengambil tindakan terhadap individu terbabit yang menggunakan lesen kapal kecil telah tamat tempoh.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, suspek tersebut ditahan selama tempoh 24 jam untuk diambil keterangan dan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM hari ini.





