TAWAU, SABAH – Sebuah bot yang membawa penumpang secara berlebihan ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada pukul 11.50 pagi kelmarin.
Dalam OP Sejahtera/Op Cegah PATI Selatan COVID-19, bot itu pada mulanya dikesan bergerak dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar A/L Vengadasalam berkata sebuah bot ronda bergerak untuk menahan seorang juragan warga tempatan berumur 29 tahun.
“Suspek sedang membawa seramai 33 penumpang termasuk empat (4) kanak-kanak di samping mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih lagi berkuatkuasa,” katanya.
Kes telah diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan disiasat dibawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.
“…kerana melanggar syarat sah lesen serta turut dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tawau dibawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar SOP PPN,” Siva berkata dalam sebuah kenyataan hari ini.





