KOTA KINABALU, SABAH – Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai sebuah gabungan parti politik merupakan langkah terbaik untuk menjamin keharmonian dan kesederhanaan dalam politik Sabah.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah menyambut baik cadangan itu yang sesuai dengan mandat diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020.
Setiausaha PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, Kemenangan dalam PRN lepas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kesatuan dan persefahaman pelbagai parti politik.
“Persefahaman ini mesti dikekalkan dan sehingga kini, kerajaan GRS telah terbukti mesra rakyat khususnya menghadapi masa sukar ketika pandemik COVID-19,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau berkata pelbagai program yang dilaksana kerajaan GRS sempanjang tempoh itu menunjukkan keprihatinan kerajaan tersebut terhadap rakyat.
“Walaupun pelbagai senario yang berlaku dalam politik Kerajaan Pusat dan beberapa negeri di Semenanjung tetapi politik Sabah di bawah GRS terus berjalan dengan baik,” tambah Aliakbar.





