SEMPORNA, SABAH – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) telah berjaya mematahkan cubaan penyeludupan minyak di perairan Pulau Siamil sini pada Sabtu.
TIGA (3) buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan telah dikesan oleh Radar CSS (Coastal Surveillance Station) di Pulau Danawan yang bergerak laju dari arah Pulau Siamil menuju ke arah luar sempadan perairan Malaysia – Filipina di Pulau Sitangkai, Filipina kira-kira jam 8.25 malam.
Berdasarkan kepada pengesanan tersebut, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah menugaskan Viper 04 bersama Tim QRF yang berada di kawasan OP PASIR Selatan melaksanakan pintasan tiga (3) minit selepas itu.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, dua buah bot laju tersebut berkaya ditahan, namun sebuah bot telah meloloskan diri apabila menyedari kehadiran Tim QRF.
“Dua buah bot tersebut ditunda ke Jeti Pulau Siamil untuk pemeriksaan terperinci disebabkan keadaan laut yang bergelora…
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan terdiri daripada empat orang awak-awak lelaki, berwarganegara Filipina berusia antara 19 hingga 50 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Sebanyak 100 tong minyak yang berisi minyak petrol berjumlah 3,500 liter berada di dalam setiap bot dan empat (4) tong gas berkapasiti 16 kg setiap tong.
“Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 61,776,” katanya.

Karim berkata bot-bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tidak membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kedua-dua buah bot laju tersebut seterusnya ditunda ke Jeti Kem Azumi dan kesemua awak-awak bot tersebut kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bagi membuat laporan polis pada sekitar jam 5.30 pagi…
“Mereka seterusnya dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 dan hasil keputusan kesemua awak-awak bot adalah negatif,” jelasnya sambil menambah suspek seterusnya diserahkan semula kepada pihak polis.
Beliau turut mengingatkan warga MK ATB 2 untuk kekal menjadi angkatan yang kredibel dan menerapkan kesiapsiagaan operasi tertinggi melalui “Precision Info, Precision Targeting and Precision Manouver”.
“Kejayaan kali ini membuktikan sistem radar milik MK ATB 2 memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan operasi dan memastikan POWB mampu mengesan mana-mana ‘ancaman’ yang memasuki sempadan Perairan Pantai Timur Sabah dapat diawasi dengan lebih ketat dan sentiasa berada ditahap tertinggi,” tambahnya.





