KDNKA Rekod 8,234 Kes Penyeludupan, Migran, Khazanah Negara Tahun Lalu

KDNKA Rekod 8,234 Kes Penyeludupan, Migran, Khazanah Negara Tahun Lalu

0
SHARE

PETALING JAYA, SELANGOR – Sebanyak 8,234 kes jenayah melibatkan penyeludupan, migran dan khazanah negara dengan nilai rampasan berjumlah RM610.1 juta telah direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sepanjang tahun lalu.

Menerusi satu kenyataan, pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, ia merupakan kejayaan besar KDNKA dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan awam sentiasa dilindungi dan terus terpelihara.

“jumlah keseluruhan kes melibatkan tangkapan seramai 7,159 individu dengan nilai rampasan sebanyak RM610.1 juta yang meliputi pelbagai jenis kesalahan,” katanya.

Menurut Hazani, aktiviti jenayah seperti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barang kontraban adalah berbeza mengikut zon persempadanan.

“Di utara semenanjung, barangan yang kerap diseludup adalah daun ketum, minuman keras, ubat batuk, dadah dan kemasukan PATI manakala di timur semenanjung, barangan seperti beras, minyak masak, petrol dan binatang ternakan…

“Zon tengah dan selatan semenanjung pula melibatkan rokok, minuman keras, dadah, hidupan liar dan kemasukan PATI manakala di Sabah dan Sarawak dilakukan melalui ‘lorong tikus’ dengan menyeludup rokok, minuman keras, kayu balak atau bakau dan hidupan liar,” jelasnya.

Beliau berkata terdapat kalangan individu yang ditangkap mempunyai peranan masing-masing dalam sesuatu kes penyeludupan migran berdasarkan statistik tangkapan PATI.

Ini termasuk ejen, tekong darat, tekong laut, penjaga rumah atau pengangkut (transporter).

“KDNKA sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa dilindungi serta terus terpelihara.

“PDRM juga memohon kerjasama masyarakat untuk turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.”