KUNAK, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi menaiktaraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, selain pemberian khas RM300 juta kepada Sarawak, usaha terbabit merupakam bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan memastikan semua rakyat dapat akses setara baik dari segi dana kerajaan mahu pun pertumbuhan insfrastruktur, ekonomi dan sosial.
Selain itu katanya usaha mewartakan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah juga menguatkan lagi persepsi dan sokongan rakyat dari dua negeri terhadap ideologi pentadbiran Malaysia Madani.
“Peruntukan RM1 bilion ini merupakan langkah awal yang tepat dan dijangka dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah dan Sarawak dalam masa yang singkat.
“Pada masa sama, usaha itu dapat memperkukuhkan lagi keselamatan rakyat kita di kawasan sepanjang sempadan Malaysia dan Kalimantan yang bakal menjadi ibu kota baharu Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa perkara infrastruktur sempadan itu merupakan isu utama yang digusari masyarakat Sabah dan Sarawak.
Katanya, pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan membabitkan kos RM135 bilion (466 trilion rupiah) itu, selain merancakkan ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak, ia turut diancam pelbagai risiko ekonomi serta sosial.
“Penyeludupan haram, pemerdagangan manusia, serta pelbagai lagi ancaman yang turut hadir dengan pembangunan ekonomi yang pesat adalah amat dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.
“Justeru, infrastruktur persempadanan yang efisien dan berkesan hasil daripada peruntukan naiktaraf RM1 bilion ini dapat menyumbang untuk mengawal risiko berkenaan,” katanya.
Norazlinah berkata, di samping itu, isu pencerobohan asing di pesisiran pantai Sabah dan Sarawak di sekitar Laut China Selatan yang tidak berhenti juga harus diberikan tumpuan oleh kerajaan Persekutuan.
Katanya, siri pencerobohan angkatan keselamatan dan maritim China yang berlaku sejak sekian lama dan semakin kerapa ketika ini telah menjejaskan ekonomi dan sosial masyarakat Sabah dan Sarawak.