Polis Kesan Muhammad Imran Suresh, Dakwa Ada Maklumat Kejadian Faisal Disimbah Asid

Polis Kesan Muhammad Imran Suresh, Dakwa Ada Maklumat Kejadian Faisal Disimbah Asid

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan pengguna media sosial yang dikenali sebagai Muhammad Imran Suresh susulan kenyataan dikeluarkan berkait kes simbah asid pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Memetik Kosmo, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hantaran di media sosial tersebut mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian menimpa Faisal. 

“Jadi, kita mahu kesan dia untuk melihat maklumat apa yang dia ada boleh membantu siasatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil bukan mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, sebuah akaun media sosial penama Muhammad Imran Suresh memuat naik hantaran mendakwa mengetahui kejadian sebenar yang menimpa pemain bola sepak tersebut.

Sementara itu, Razarudin turut memaklumkan siasatan lanjut dari pelbagai sudut masih dilakukan terhadap suspek yang ditahan reman semalam.

“Orang ramai diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul yang boleh menjejaskan siasatan,” tegasnya.