KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berkesempatan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Rayan Oram, kanak-kanak yang meninggal dunia selepas terperangkap selama lima hari di sebuah perigi di Magrhib.
Ucapan takziah beliau dibuat menerusi akaun Facebooknya setelah berita tentang pemergian kanak-kanak yang berusia lima tahun itu tersebar di seluruh dunia.
“Saya sedih mendengar berita yang menyayat hati tentang kematian Rayan Oram yang disahkan oleh Istana Diraja Maghribi…
“Kanak-kanak berusia lima tahun itu terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter selama lima hari di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan berbukit dekat Chefchaouen, utara Maghribi.
“Saya dan seluruh keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya. Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik Allah SWT,” katanya hari ini.
Lewat malam Sabtu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan telah menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas dia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.





