Sabah Perlu Sistem Ramalan Kaji Cuaca Yang Lebih Sofistikated – Bung

Sabah Perlu Sistem Ramalan Kaji Cuaca Yang Lebih Sofistikated – Bung

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Kerajaan Negeri memerlukan satu sistem ramalan kaji cuaca yang ‘sofistikated’ dan berketepatan tinggi dalam usaha mengurangkan kesan fenomena banjir khususnya di kawasan yang sering terdedah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, dengan melalui ini, maklumat yang diperoleh boleh disalurkan lebih awal kepada orang ramai sekaligus memberikan mereka ruang masa untuk bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan banjir di kawasan masing-masing.

“Jika kita memiliki sistem ramalan kaji cuaca yang lebih canggih dan efisin kita boleh bersedia lebih awal dan ini sudah tentu mampu mengurangkan impak kesan dari banjir yang berlaku selain dapat mengerakkan bantuan lebih awal kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Pemukiman Ahli-Ahli Dewan Undangan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini kemarin.

Majlis tersebut di rasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Mohd Noor dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kelab Penyokong GRS Datuk Seri Panglima Dr Salleh Tun Said Keruak.

Menurut Bung pengalaman berhadapan dengan bencana banjir secara tiba-tiba di beberapa buah negeri termasuk di Sabah baru-baru ini yang mengakibatkan kerugian besar perlu dijadikan pengajaran agar langkah-langkah proaktif dapat diambil segara sekiranya berlaku bencana mendadak.

“Kita akan cadangkan perkara ini kepada kerajaan Pusat untuk memohon peruntukan memandangkan Sabah juga berhadapan dengan risiko banjir yang berlaku hampir setiap tahun,” katanya.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya menambah peralatan bantuan di pusat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di seluruh daerah juga perlu lengkap dan berada dalam keadaan yang baik agar bila berlaku bencana alam mendadak khususnya banjir dapat digerakkan segera bagi memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.