PHNOM PENH, KEMBOJA – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata pentadbirannya ingin bekerjasama dengan ASEAN bagi mempereratkan hubungan dengan gagasan negara serantau itu menerusi Kemboja, lapor AFP.
Dalam sepucuk surat bertarikh 14 Januari lalu kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Biden menulis: “Di bawah Kemboja selaku pengerusi, AS berharap dapat menjalin hubungan lebih akrab dengan ASEAN demi kepentingan bersama”.
Tambah beliau, AS komited kepada ASEAN dan kekal sebagai penyokong tegar struktur serantau berpaksikan kesepakatan serantau diikat oleh perjanjian serta persefahaman dua hala di tengah Asia Pasifik.
Biden turut menekankan sekali lagi hasratnya untuk menjemput pemimpin ASEAN menyertainya di Washington…
dalam beberapa bulan akan datang bagi menyertai satu sidang kemuncak khas.
Membalas surat Biden, Hun Sen mengucapkan terima kasih atas jemputan itu dan menghargai hasrat beliau mahu memperkukuhkan hubungan dua hala dengan ASEAN ketika Kemboja menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.
Hun Sen turut menekankan komitmen kukuh dan sokongan penuh Kemboja terhadap usaha AS bagi mengadakan sidang kemuncak khas di Washington.
“Saya yakin sidang kemuncak ini akan menyediakan peluang yang baik bagi kita bertukar pandangan ke arah menambah baik kerjasama ASEAN-AS,” katanya.





