KOTA KINABALU, SABAH – Hampir separuh kes kematian COVID-19 di Sabah membabitkan individu yang belum menerima suntikan vaksin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata kadar itu pada 48 peratus (48%) daripada 93 kes dalam tempoh 8 hingga 23 Februari 2022.
Menurutnya majoriti kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) tidak menerima dos penggalak dan merupakan 47 daripada 93 kes tersebut.
“Sejumlah 84 peratus kes kematian yang direkodkan mempunyai sejarah komorbiditi yang antaranya adalah seperti kencing manis, darah tinggi, kanser dan penyakit kerosakan buah pinggang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya hanya 43 peratus (43%) kes kematian membabitkan mereka yang mempunyai vaksinasi lengkap.
“Antara faktor-faktor penyumbang kepada kematian di rumah (BID) adalah keluarga beranggapan bahawa gejala yang dialami adalah ringan dan tidak terlalu teruk, pesakit sendiri enggan mendapatkan rawatan serta gejala timbul kurang daripada 24 jam…
“Antara gejala utama yang dikenalpasti adalah kurang selera makan, berasa lesu dan tidak bermaya,” katanya.
Dr Rose menyeru golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit komorbid untuk segera mendapatkan vaksin.
“Ibu bapa juga diminta untuk membawa anak-anak mereka yang berusia lima tahun hingga di bawah 12 tahun untuk mendapatkan vaksin…

“Vaksin melindungi anak-anak mereka daripada dijangkiti COVID-19 yang mungkin boleh menyebabkan kematian,” katanya lagi.





