KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Persekutuan digesa ambil pendekatan baharu yang lebih serius behubung rancangan pembangunan Sabah dan Sarawak.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, kedua-dua negeri tersebut jauh lebih luas berbanding negeri-negeri di Semenanjung namun dari aspek pembangunan, Borneo amat jauh ketinggalan.
Menurutnya, pelaksanaan tender terbuka dalam perancangan pembangunan (Sabah dan Sarawak) yang menjadi amalan sebelum ini kini dilihat sudah tidak relevan.
Beliau berkata ia kerana sesuatu projek memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan sepenuhnya.
“Sudah tentu peruntukan untuk tujuan pembangunan tidak boleh disamakan dengan negeri Semenanjung. Kita telah melaluinya selama berpuluh-puluh tahun dan mungkin tender terbuka sudah tidak sesuai.
“Kerajaan Persekutuan akan melantik kosultan yang memakan masa tiga ke enam bulan…selepas dilantik, tempoh membuat reka bentuk pula boleh mencecah setahun….
“Selepas itu tender akan dibuka selama setahun dan dalam tempoh tiga tahun setengah itu, hanya satu projek berjalan.
“Jadi bagiamana kita boleh mengwujudkan pembangunan yang seimbang antara Wilayah?,” katanya ketika berucap dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Yang DI-Pertuan Agong Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat semalam.
Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengingatkan kerajaan pusat bahawa sekiranya perkara tersebut sukar dilaksanakan, peruntukan sebanyak RM 5 bilion setahun perlu diberikan kepada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata saranan itu dibuat kerana peruntukan yang diberikan setiap tahun tidak dapat digunakan sepenuhnya.
“RM 5 bilion itu sedikit sahaja terpakai dan dibawa ke hadapan lagi…hanya dapat digunakan sekitar 38 peratus setiap tahun. Pada tahun akan datang, umum lagi RM 5 bilion. Padahal yang terpakai hanya RM1 bilion lebih. Sampai bila keadaan ini berlarutan?” tegasnya sambil mengingatkan Kerajaan untuk jangan mempermainkan perasaan penduduk di Sabah dan Sarawak.
Walaubagaimanapun, Menteri Kerja Raya Sabah itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang bersetuju meluluskan Fasa Satu Pakej Lebuh Pan Borneo yang merangkumi 19 pakej untuk Sabah.
“Keputusan ini sepatutnya sudah lama diambil tindakan berbanding dengan negeri jiran Sarawak. Lebuh Raya Pan Borneo mereka sudah hampir 85 peratus siap tapi di Sabah, fasa satu baru bermula.
“Inilah antara kekangan yang melambatkan proses pembangunan di Sabah,” katanya.





