KUALA LUMPUR – Had waktu operasi premis-premis perniagaan akan dimansuhkan bermula 1 April umum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pemilik premis itu kemudiannya boleh melaksanakan waktu operasi berdasarkan lesen pada operasi premis mereka.
“Ini bermakna semua orang boleh makan di kedai makanan dan minuman selepas tengah malam, terutama pada bulan Ramadan yang akan datang…
“Jadi, bolehlah bersahur di luar,” katanya pada sidang media khas mengenai peralihan negara ke fasa endemik di sini semalam.
Beliau berkata fasa peralihan itu ialah strategi keluar untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali kepada hampir seperti kehidupan normal setelah dua tahun bertarung dengan COVID-19.
Selain itu, Ismail berkata solat berjemaah di semua masjid dan surau, termasuk rumah ibadat bukan Islam, kini boleh ditunaikan tanpa perlu mematuhi penjarakan fizikal.
Bagaimanapun, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) muktamad bagi perkara itu tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama di negeri masing-masing.
“Penjarakan antara jemaah sewaktu solat berjemaah telah menjadi isu dalam kalangan umat Islam kerana ramai yang mahukan ia dimansuhkan,” katanya.





