KIEV, UKRAINE – Sekali lagi tentera Rusia membedil satu lagi reaktor nuklear di Ukraine walaupun diberi amaran bahawa tindakan itu akan menyebabkan bencana yang lebih teruk.
Rusia telah melancarkan beberapa roket ke arah Institut Fizik dan Teknologi Kharki dimana kemudahan nuklear itu dianggarkan bernilai AS$70 juta (RM292.5 juta).
Kemudahan yang digelar Neutron Source itu menggunakan satu reaktor nuklear bagi tujuan penyelidikan perubatan, industri dan fizik.
Difahamkan tentera Rusia menembak peluru berpandu dari pelancar “Grad” yang tidak mempunyai sasaran tepat, menimbulkan kebimbangan bahawa tembakan itu akan tersasar ke tempat lain.
Ukraine telah memberi amaran bahawa serangan Rusia ke atas kemudahan tersebut menggunakan pelancar peluru berpandu Grad boleh membawa kepada kemusnahan ekologi berskala besar, lapor Daily Star.
“Tentera Rusia melancarkan serangan ke arah kawasan institut tersebut, di mana terletaknya kemudahan nuklear Neutron Source dengan 37 sel bahan api nuklear dimuatkan ke dalam terasnya.
“Kemusnahan kemudahan pemasangan dan penyimpanan nuklear untuk bahan nuklear boleh membawa kepada malapetaka alam sekitar berskala besar,” kata Timbalan Menteri Luar Ukraine, Emine Dzheppar…
Ia bukan kali pertama tentera Rusia menyasarkan kemudahan nuklear di Ukraine sejak perang bermula 12 hari lalu.
Beberapa hari sebelum ini, loji nuklear terbesar Eropah, Zaporizhzhia terbakar selepas terkena bedilan peluru tentera Rusia.





