Jurujual Nekad Terjun Kereta Elak Terus Dicabul

Jurujual Nekad Terjun Kereta Elak Terus Dicabul

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang gadis 19 tahun mengalami kecederaan pada siku dan lutut selepas nekad terjun keluar dari kenderaan e-hailing yang sedang bergerak bagi menyelematkan dirinya daripada terus dicabuli.

Jurujual itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Menggatal dalam kejadian kira-kira 9 pagi tadi di Kampung Kobuni, Jalan Kionsom, Inanam.

Mujur ada penduduk kampung yang menyaksikan kejadian traumatik tersebut dan bertindak menyelamatkan mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, kenderaan Axia berwarna biru gelap yang dinaiki mangsa dipandu seorang lelaki bernama ‘Zahir’.

“Suspek berkata akan mengambil jalan singkat iaitu melalui jalan Kionsom kerana jalan utama sesak…

“Bagaimanapun, suspek meminta mangsa untuk beralih ke kerusi penumpang hadapan ketika berhampiran dengan air terjun Kionsom dan memegang paha mangsa.

“Berikutan itu, mangsa memberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan itu tetapi pemandu (suspek) mengeluarkan sebilah pisau kecil dari begnya dan meminta wang daripada mangsa,” katanya sambil menambah laporan polis berhubung kes diterima pada jam 1.14 tengah hari tadi di Balai Polis Inanam.

Menurutnya, mangsa selepas itu terus menghubungi rakannya yang kemudian membawa mangsa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati nombor pendaftaran kenderaan jenis itu disyaki palsu dan didaftarkan ke atas sebuah kereta Proton Saga…

“Siasatan kini giat dijalankan bagi mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran,” katanya.