SHAH ALAM, SELANGOR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus memandang serius tentang isu kenaikan harga barang dan tidak membiarkan fenomena itu berterusan, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, memberi arahan kepada agensi atau kementerian sahaja tidak cukup, sebaliknya perlu terlibat secara langsung bagi memastikan harga barangan tidak menjadi di luar kawalan.
“Sepanjang minggu ini setiap hari saya menyantuni rakyat melalui program-program kebajikan di kampung-kampung serta melalui walkabout di bazar-bazar Ramadan di Jitra dan Bukit Kayu Hitam, Kedah…
“Setiap kali saya bertemu mereka, satu perkara yang tidak pernah lekang dari percakapan ialah betapa kenaikan harga barang menekan kehidupan harian rakyat biasa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu, lapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas juga perlu dilakukan sekiranya ada peniaga yang mengambil kesempatan.
Menurutnya, pasukan penguat kuasa mesti digerakkan dengan sepenuhnya untuk memantau fenomena harga barangan dan mengambil tindakan segera apabila perlu.
“Pada masa sama, usaha untuk membina semula ekonomi juga perlu dijadikan tumpuan…
“Kita perlu memastikan rakyat biasa dapat menjalankan dan mempergiat kegiatan ekonomi harian supaya mereka mempunyai peluang untuk mampu menyara kehidupan.





