Kadar Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak Di Labuan Antara Terendah

Kadar Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak Di Labuan Antara Terendah

0
SHARE
Gambar Hiasan...

LABUAN – Kadar vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Wilayah Persekutuan Labuan diantara yang terendah, setakat Jumaat.

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Labuan, hanya 1.9 peratus atau 218 kanak-kanak daripada sasaran 11,700 kanak-kanak di pulau ini telah menerima dua dos vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata daripada jumlah sasaran itu, hanya 41.92 peratus atau 4,905 kanak-kanak menerima suntikan dos pertama, dan purata mereka yang mengambil vaksin secara jumpa terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) adalah bawah 100.

“Kita hanya boleh berharap agar lebih ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mengambil dan melengkapkan vaksinasi,” katanya kepada Bernama hari ini…

Beliau juga mengingatkan bahawa ada sesetengah kanak-kanak yang mengalami sakit teruk daripada jangkitan COVID-19 atau menghidapi komplikasi jangka panjang, maka vaksinasi adalah kaedah terbaik untuk menghalang kanak-kanak daripada jatuh sakit.

Dr Ismuni berkata beberapa ibu bapa masih teragak-agak untuk memberi vaksin kepada anak mereka kerana bimbang dengan kesan sampingan walaupun risikonya sangat rendah.

“Ramai ibu bapa juga mempersoalkan sama ada vaksin itu diperlukan untuk kanak-kanak…

“mereka mendakwa, secara salah, bahawa kanak-kanak tidak akan mengalami sakit teruk sekiranya dijangkiti COVID-19, walaupun hakikatnya bilangan kes positif dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

“Ada antara mereka yang enggan memvaksin anak kerana mereka fikir vaksin itu tidak berbuat apa-apa untuk mengehadkan penyebaran virus. Mereka salah faham bahawa vaksin ini hanya mengehadkan tahap keterukan gejala tanpa mencegah jangkitan,” katanya.

Beliau berkata vaksin melindungi kes-kes bergejala dan tidak bergejala serta mengehadkan penyebaran virus itu ke populasi selain mengelakkan penutupan sekolah dan aktiviti ko-kurikulum terjejas sekiranya ada jangkitan dalam kalangan pelajar sekolah.