TAWAU, SABAH – TIGA (3) penumpang penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH2664 pada Ahad lepas (3 April) mahu syarikat penerbanganitu selain Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia menjalankan siasatan telus berhubung insiden kecemasan pesawat itu.
Penumpang tersebut, Abdul Rahim Awang Nong, 48, Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48, yang membuat laporan polis berasingan berhubung kejadian itu, turut mahukan hasil siasatan didedahkan kepada pihak umum.
Ini kerana mereka tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh MAS dalam satu kenyataan Selasa lepas (5 April) bahawa penerbangan MH2664 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpatah balik kerana “masalah teknikal dan cuaca buruk ketika penerbangan”.
Abdul Rahim berkata, cuaca ketika itu baik dan juruterbang juga telah mematikan tanda tali pinggang keledar ketika pramugari sedang menghidangkan makanan apabila pesawat tiba-tiba hilang kawalan dan menjunam.
“Ketika itu, hanya kematian yang terlintas di fikiran saya dengan penumpang lai menjerit serta menangis,” katanya kepada pemberita.
Halimah mendakwa dia “terapung” dari tempat duduknya semasa kejadian dan masih trauma dengan kejadian selama kira-kira 10 minit itu.
“Cuaca ketika itu baik, dan saya telah mengambil beberapa gambar beberapa minit sebelum kejadian, langit biru, tiada hujan, hari itu panas dan matahari terik…
“Siasatan rapi perlu dilakukan segera ke atas kotak hitam kerana ia melibatkan keselamatan awam,” katanya.
Sementara itu, Chui berkata dia juga trauma dengan kejadian itu dan sejak itu, mengalami masalah tidur.
“Sehingga kini dada saya masih sakit. Ketika itu saya sudah habis minum dan mahu tidur ketika pesawat terjunam, saya terapung dan pada masa itu, saya fikir saya akan mati, dan apabila pesawat mendarat dan kami keluar dari pesawat, saya perasan semua penumpang kelihatan pucat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Di laman media sosial Twitter pula, seorang juruterbang, @aviatorian86, menjelaskan keadaan itu kemungkinan terjadi apabila pesawat tersebut melalui ‘air pocket’ ataupun ‘downdraft’.







