KOTA KINABALU, SABAH – Laporan awal mengenai pekerja asing tanpa izin dan warga asing di Sabah akan dibentangkan kepada kabinet bulan depan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang mengetuai jawatankuasa khas berhubung isu itu berkata laporan itu akan merangkumi cadangan penyelesaian kepada masalah pendatang tanpa izin Sabah.
“Setakat ini, jawatankuasa itu telah bertemu dengan agensi kerajaan dan pemain industri yang berkaitan. Saya boleh katakan bahawa laporan itu adalah kira-kira 60 peratus siap…
“Dalam beberapa minggu akan datang, kami akan mendapatkan pendapat daripada semua parti politik termasuk pembangkang bagi memastikan laporan ini tepat, seimbang dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) percaya penyelesaian muktamad kepada masalah itu harus datang daripada rakyat Sabah dan pemimpin tempatan dan bukannya kerajaan persekutuan.
“Kerajaan persekutuan harus dipersalahkan pada awalnya dan saya yakin cadangan mereka untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin dan warga asing akan memburukkan dan bukannya mengurangkan masalah.
“Mereka tidak sedar demografi kita diubah secara drastik akibat kebanjiran pendatang tanpa izin…
“Sejak itu, apa sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan, akan sentiasa dirasai dengan rasa curiga dan tidak percaya oleh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa selepas laporan itu diterima dan diluluskan oleh kabinet, kerajaan Sabah akan membentangkan cadangan mereka kepada kerajaan persekutuan dan melaksanakan penyelesaian terbaik walau apa pun cara.
“Selama bertahun-tahun, isu pendatang tanpa izin menjadi punca kepada semua masalah di Sabah dan ianya banyak dipolitikkan…
“Kita perlu menanganinya atau kita tidak akan dapat bergerak ke hadapan kerana isu ini akan sentiasa menjadi penghalang kepada pembangunan kita sebagai sebuah negara,” katanya.





