KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam (14 April) sebulat suara mencadangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesepakatan itu ialah antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
“Mesyuarat MKT pada petang tadi membuat beberapa ketetapan, termasuk mengenai kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH). MoU yang akan berakhir 31 Julai depan itu diputuskan tidak akan diteruskan lagi…
“Selain itu, pembentangan Akta Antilompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.
“UMNO berpendirian bahawa Akta Antilompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mesyuarat MT itu diadakan sebelum berlangsungnya Majlis Berbuka Puasa UMNO di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan memaklumkan satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei depan sebagai keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021.
Tambah beliau lagi, ia bagi melakukan pindaan terhadap Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Antara yang hadir pada majlis iftar semalam ialah Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Ismail Sabri dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.