KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki digesa untuk berehat dan bercuti, demikian gesaan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) kepada Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, UMMAH akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri bagi mendesak dengan segera mengarahkan supaya satu siasatan yang teliti mesti dibuat di bawah kendalian Jawatankauasa Parlimen oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sekuriti Malaysia.
“UMMAH juga mendesak agar PM mengarahkan Azam Baki perlu berehat dan bercuti dalam tempoh siasatan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini seperti dipetik Harakah Daily.
Beliau berkata, UMMAH telah meneliti kenyataan akhbar Azam Baki yang dibuat pada 5 Januari dan kenyataan daripada enam ahli lembaga penasihat SPRM yang tidak selari, mencurigakan dan mengejutkan rakyat.
Menurutnya, isu itu yang melibatkan pembelian saham bernilai jutaan ringgit yang menggunakan akaun Azam Baki oleh adiknya Nasir Baki.
Katanya, perbuatan itu bertentangan dengan Seksyen 25 SICDA di mana setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama akaun pemilik.
Beliau menambah, perbuatan yang dilakukan oleh Azam sebagai Ketua Pesuruhajaya boleh menimbulkan perspektif yang sangat negatif kepada institusi Ketua Pesuruhjaya SPRM dan institusi SPRM sendiri.
“Keadaan ini sangat menjejaskan reputasi SPRM sebagai sebuah institusi yang tinggi integritinya di dalam negara mahupun di luar negara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, institusi SPRM dan Ketua Pesuruhjaya mestilah dilihat bersih, bebas dan berintegriti tinggi.
“Selagi Azam masih menerajui SPRM dalam keadaan beliau juga mempunyai kes dalam siasatan akan meletakkan institusi SPRM dalam dilema, tidak bebas dan hilang kepercayaan oleh rakyat…
“Ini juga akan melibatkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan yang ada khususnya Perdana Menteri,” katanya lagi.
Pada 5 Januari lalu, Azam menafikan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mempunyai kepentingan dalam skandal pembelian saham yang dikaitkan dengannya.





