PENAMPANG, SABAH – Sekurang-kurangnya 259 bekas ahli (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) UPKO dari bahagian Kepayan dan daerah ini menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hari ini.
Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada pengundi berbangsa Cina, diketuai mantan Ahli Majlis Tertinggi dan Naib Ketua Bahagian UPKO Nasional Penampang, Cheong Kwee Min, di dewan Kinsabina sini.
Beliau berkata Sabah masih perlukan pembangunan dari segi infrastuktur, bekalan air dan pencapaian internet.
“Dan sebab itu, kita perlu buat perbincangan bersama kerajaan pusat untuk memudahkan mendapat kelulusan.
“Perkara itu senang di bawah PBRS dan masalah yang dihadapi rakyat sini dapat diselesaikan secara harmonis.
“Kami tidak mahu melawan tetapi sebaliknya memilih cara yang halus supaya hal-hal berkaitan masa depan rakyat di Sabah diselesaikan dengan cara yang betul. Saya yakin PBRS dapat membantu,” katanya.
Sementara itu, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup mendedahkan lebih ramai lagi ahli UPKO yang setia kepada Barisan Nasional hanya sedang menunggu masa cawangan PBRS dibuka di kawasan mereka.
“Saya tidak menyangka di Tawau pun ada sambutan PBRS dan setakat ini lima bahagian sudah ditubuhkan di sana dengan majoriti ahli adalah bekas Parti Warisan.
“Sebagai parti tempatan tunggal di bawah naungan Barisan Nasional (BN), mesej yang ingin disampaikan PBRS adalah kesatuan…
“Kita mesti bersatu padu menyelesaikan masalah. Bukan sahaja kita (BN) boleh menyatu padukan suku kaum Kadazan Dusun Murut Rungus tetapi juga semua bangsa di Sabah,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memberikan sokongan kepada pindaan Rang Undang-Undang Akta Anti Lompat Parti.
“Sudah tentu kami menyokong usul itu sebagaimana ia dibentang di Parlimen…
“Apabila seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat setelah menang atas tiket parti lama untuk mencari peluang di parti yang baru, perbuatan itu hanya akan menimbulkan ketidakstabilan kepada politik khususnya di Sabah.
“Kalau rakyat atau ahli biasa, contohnya seperti hari ini, UPKO masuk PBRS, itu perkara biasa.
“Tapi kalau ADUN yang sudah meraih mandat rakyat dan menggalas tanggunjawab lepas itu lompat, itu kita tidak mahu,” tegasnya.





