Kejar Mengejar Di Beaufort Selepas Ditembak Tayar

Kejar Mengejar Di Beaufort Selepas Ditembak Tayar

0
SHARE

BEAUFORT, SABAH – Polis menembak tayar kereta dinaiki dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah selepas cubaan merempuh di Kampung Limbawang sini semalam.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, sepasukan anggota cuba mendekati kereta Proton Saga suspek pada kira-kira jam 8.30 malam.

“Namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis…

“Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta terbabit.

“Bagaimanapun, kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Namun, air banjir di kawasan tersebutmengakibatkan kenderaan mereka terbabas di tepi jalan. Kedua suspek berumur 31 dan 35 itu cuba memecut keluar dari kereta sebelum sempat diberkas.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 6.11 gram dijumpa di atas tempat duduk sebelah pemandu.

“Suspek dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut mankala turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Tambah beliau, salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat dakwaan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.