KOTA KINABALU, SABAH – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah akan mencadangkan sekurang-kurangnya seorang calon bukan Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan bagaimanapun berkata perkara itu masih dibincang secara dalaman.
Terdahulu, kedudukan parti itu di Sabah menjadi tanda tanya selepas pentadbiran Perikatan Nasional (PN) tamat tahun lalu…
Namun Aliakbar berkata pada peringkat pusat, PAS masih rakan sekutu PN yang mana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, merupakan Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.
Beliau berkata PAS khususnya PAS Sabah sentiasa mengutamakan perbincangan bersama rakan politik iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita meraikan kerjasama ini, kita tidak akan buat keputusan sendiri…
“PAS dari dulu, di mana-mana pun kita berkawan, kita akan mengutamakan perbincangan bersama,” katanya.
Selain itu, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik menyatakan hasrat untuk bertanding pada (PRU-15) selain meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen negeri ini.
“PAS mengharapkan kita meletakkan calon pada PRU-15. Ada kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang dan gerak kerja sudah kita teruskan kepada masyarakat.
“Kita meletakkan sasaran pasti dan kita akan bertanding pada PRU walaupun kita tak sebutkan kerusi,” katanya kepada wartawan pada Program Ziarah Sekolah Sempena Hari Guru 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, di sini, pagi tadi.
Walaubagaimanapun, beliau memberi bayangan bahawa salah satu daripada kerusi parlimen yang disasarkan itu adalah Sepanggar.
“Calon semua sudah ada, saya boleh katakan di peringkat akhir untuk menentukan calon-calon dan kita meletakkan calon di kalangan mereka yang profesional dan berpendidikan serta sebahagiannya adalah anak muda,” tambahnya.





