PEKAN BARU, INDONESIA – Seorang pemain futsal di Indonesia tergamak menikam jurulatihnya sendiri setelah beliau tidak berpuas hati tidak terpilih sebagai pemain utama dalam pasukan futsal.
Insiden tersebut, berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sehingga tular dalam media sosial, lapor Kompas.com.
Menerusi rakaman tersebut, suspek dilihat menaiki motosikal dengan mengenakan baju berwarna merah dan seluar pendek ke rumah mangsa.
Ketua Unit Siasatan Jenayah, Polis Pekan Baru, Andrie Setiawan berkata, mangsa dilihat membuka pintu sebelum tertuduh mengeluarkan pisau dari seluarnya dan menikam di bahagian perut mangsa.
Ujarnya, mangsa dikejarkan ke hospital dan suspek berusia 30 tahun berjaya diberkas selepas menyerang mangsa di rumahnya di Rumbai Pesisir.
Katanya, motif serangan disebabkan suspek hanya diletakkan sebagai pemain simpanan dan tidak menjadi pemain utama semasa perlawanan futsal sebelum ini..





