SANDAKAN, SABAH – Seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai sebagai pembunuh seorang wanita yang ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher di sebuah rumah di Apartment Taman Sentosa, sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa berusia 59 tahun itu merupakan ibu kepada teman wanita suspek utama terbabit.
“Suspek datang ke rumah mereka pada jam 5.50 petang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka…
Suspek dipercayai bertindak mengelar bahagian leher dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Namun katanya, warga tempatan itu menyerah dirinya di Balai Polis Sandakan dan ditahan untuk membantu siasatan lanjut.
“Anak perempuan mangsa berusia 25 tahun pula cedera ringan di bahagian tangannya. Beliau dan ibunya tinggal serumah sebelum insiden,” katanya ketika dihubungi wartawan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini ditahan reman mengikut Seksten 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent untuk bedah siasat.





