Cubaan Seludup 48,600 Batang Rokok Putih Digagalkan

Cubaan Seludup 48,600 Batang Rokok Putih Digagalkan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih disyaki dari negara jiran di sekitar Pulau Sulok, Beluran awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Pluto Timur di perairan Semawang mengesan pergerakan tiga bot mencurigakan.

Hasil pemantauan mendapati salah sebuah bot tersebut sedang menunda sebuah sampan dalam keadaan bergelap sekitar jam 1 pagi semalam.

“Semasa diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, ketiga-tiga bot tersebut tidak memberikan kerjasama dan telah memecut laju dalam usaha untuk melarikan diri…

“Pasukan operasi mengejar untuk memintas ketiga-tiga bot suspek yang memecut ke perairan cetek berhampiran daratan.

“Hampir 20 minit kejar mengejar, salah satu bot suspek bertindak memotong tali sampan yang ditunda dan ketiga-tiga bot suspek menuju kawasan paya bakau cetek bagi melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas sampan yang ditinggalkan menemui 48,600 batang rokok putih yang dipercayai diseludup dari negara jiran dengan anggaran nilai RM33,000 beserta cukai.

“Kesemua hasil rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini. Kes disiasat dibawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.