KUALA PENYU, SABAH – Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarin Lakim berkata, sambutan Hari Pewartaan Taman Pulau Tiga (TPT) kali ke-44 dapat memupuk semangat kekitaan di antara warga Taman-Taman Sabah (TTS) dan komuniti setempat.
Katanya, penganjuran program itu penting untuk menjalin hubungan yang baik di antara warga TTS khususnya kakitangan TPT selaku pengawal taman dengan komuniti di sekitar daerah Kuala Penyu selaku pihak berkepentingan di kawasan tersebut.
“Ini adalah selaras dengan pencapaian visi TTS iaitu rakyat Kuala Penyu hidup harmoni dengan alam semulajadi yang ada di sini…
“Selain itu, sambutan tersebut bertujuan untuk menyediakan aktiviti tahunan di peringkat TPT di samping memberi peluang kepada pihak pengurusan TPT untuk menyemak semula hasil kerja tahun sebelumnya dan perancangan bagi tahun berikutnya,” katanya baru-baru ini.
Maklarin turut mendedahkan beberapa langkah telah diambil oleh pihak TPT sebagai inisiatif awal persiapan pembukaan semula pulau tersebut kepada pelawat selepas pandemik Covid19.
“Antara persediaan yang telah dilaksanakan adalah kerja-kerja penyelenggaraan dan aktiviti-aktiviti pembangunan dengan menambah baik kemudahan sedia ada di pulau ini.
“Selain daripada penambahbaikan secara fizikal, pihak TPT merasa bertuah kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, kita mengalami satu fasa restorasi flora dan fauna yang berkualiti ekoran tidak ada aktiviti manusia yang berlaku sepanjang tempoh tersebut.
“Ini menjadi satu landasan untuk pembukaan semula TPT kepada orang awam dan pelancong kerana pihak kami sudah membuat persiapan yang lebih baik untuk menerima semula kemasukan pelawat ke pulau ini,” tambah beliau.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan program Renjer Muda yang melibatkan murid dari sekolah di sekitar Kuala Penyu, perasmian pondok pengawal pantai, penyampaian cenderahati kepada pesara TTS serta taklimat daripada Persatuan Pengusaha Pelancong Kuala Penyu.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Gabriel Sinit, wakil Pegawai Daerah Kuala Penyu, Joumat Bisnim, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, John Genchit dan Pengurus Taman Pulau Tiga, Roslizan Sallin.





