KOTA KINABALU, SABAH – Sehingga Minggu Ke-42 tahun ini, Negeri Sabah telah mencatatkan sejumlah 4,812 kes demam denggi berbanding 1,336 kes dicatatkan pada tempoh masa yang sama pada tahun 2021.
Menurut kenyataan media Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang dikeluarkan hari ini, sebanyak lima (5) kes kematian direkodkan angkara virus itu, iaitu tiga (3) di daerah Sandakan dan masing-masing satu (1) di daerah Papar dan Tawau.
“Sehingga 22 Oktober 2022, lima (5) daerah yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi di Negeri Sabah adalah Sandakan (1,394 kes), Kota Kinabalu (1,155 kes), Tawau (387 kes), Lahad Datu (349 kes) dan Putatan (344 kes).
“Bagi lokaliti wabak aktif pula, sejumlah 74 lokaliti wabak aktif (11 wabak hotspot, 11 wabak tidak terkawal dan 52 wabak terkawal) di seluruh Negeri Sabah yang melibatkan tujuh (7) daerah iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kudat, Penampang dan Pitas,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Negeri Sabah telah bermesyuarat pada 27 Okt (Khamis) bagi membincangkan situasi dalam negeri yang menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan.
“Kerajaan Negeri ingin menasihatkan masyarakat agar sentiasa mengambil tindakan kawalan pencegahan demam denggi dengan membersihkan kawasan luar dan dalam rumah, menyembur aerosol, kerap menggunakan repellant (bahan yang mencegah gigitan nyamuk) sekiranya keluar rumah pada waktu nyamuk aktif dan menyental bekas tadahan atau simpanan air seminggu sekali.
“Individu yang mengalami gejala penyakit demam denggi disarankan agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital terdekat bagi mengurangkan risiko komplikasi demam denggi berdarah terutama bagi golongan kanak-kanak serta golongan yang mempunyai penyakit komorbid,” tegasnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri akan sentiasa memantau isu-isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi terlibat bagi memastikan risiko wabak demam denggi dapat ditangani.





