KUALA LUMPUR – UMNO dilihat seolah enggan berubah meskipun kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan meluluskan usul menghalang pertandingan dua jawatan tertinggi parti itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang diadakan baru-baru ini.
Keputusan PAU 2022 semalam meluluskan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti yang perlu dibuat sebelum 19 Mei depan.
Menurut penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir, kelulusan usul itu dianggap menyekat demokrasi dalam parti serta menghantar mesej negatif pada akar umbi parti dan rakyat secara keseluruhan.
“Tindakan perwakilan UMNO menyokong usul itu menunjukkan mereka berada dalam sindrom penafian dan tidak faham mesej disampaikan majoriti orang Melayu yang menolak parti itu pada PRU15…
“Tindakan menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pasti dianggap tidak demokratik dan menjejaskan proses reformasi, peremajaan dan transformasi UMNO,” katanya.
Memetik sumber Berita Harian, Jeniri berkata UMNO seolah-olah tidak mahu bergerak ke depan ketika rakyat mahu menyaksikan perubahan dalam parti itu terutama menerusi perubahan kepemimpinan UMNO.

“Harus diingat, antara faktor menyebabkan UMNO dihukum pada PRU15 adalah kerana reputasi pimpinan tertingginya yang tercemar dan usul tambahan ini berisiko menjadi petanda buruk buat UMNO…
“Kelulusan usul ini mungkin mencerminkan pendirian perwakilan yang tidak mahu berubah dan ini mungkin menjejaskan usaha menarik sokongan rakyat, kerana undi daripada tiga juta ahli UMNO saja tidak mencukupi jika mahu menang pilihan raya,” katanya.
Jeniri berkata, pertandingan dua jawatan itu hakikatnya berpotensi memberi kelebihan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, walaupun kedua-dua pemimpin UMNO itu bukan mudah untuk ditumbangkan, Ahmad Zahid serta Mohamad sepatutnya melihat pertandingan itu sebagai peluang untuk mengukuh dan mengabsahkan kedudukan dalam parti.

“Pertandingan dua jawatan itu tidak semestinya bererti mereka berdua pasti kalah, kerana Ahmad Zahid khususnya memiliki pengaruh kuat pada peringkat bahagian dan sukar ditumbangkan…
“Namun, usul tambahan itu menyebabkan orang ramai melihat UMNO tidak demokratik dan Ahmad Zahid serta Mohamad takut bertanding,” katanya.
Beliau turut yakin isu itu akan menjejaskan prestasi UMNO dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN).





