Op Selamat 19: Kemalangan Jalan Raya Sabah Meningkat 35 Peratus

Op Selamat 19: Kemalangan Jalan Raya Sabah Meningkat 35 Peratus

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 409 kemalangan kenderaan telah dilaporkan dalam OP Selamat 19 berbanding dengan tempoh sama Op Selamat 17 iaitu 303 kemalangan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah berkata ini menunjukkan peningkatan sebanyak 106 kes iaitu 35 peratus.

Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah telah melancarkan operasi “Op Selamat 19” bermula 18 Januari 2023 sehingga 27 Januari 2023.

“Walau bagaimapun, bagi kes kemalangan pada Op Selamat 19 yang menyebabkan kematian, lima orang maut berbanding Op Selamat 17 yang mencatatkan enam kematian. Ia menunjukkan penurunan sebanyak satu kes.

“Bagi kes pecah rumah, bermula 18 Januari hingga 24 Januari 2023, sebanyak 25 kes telah dilaporkan.

“Namun tiada kejadian kes pecah rumah bagi tuan rumah yang telah memaklumkan kepada pihak polis untuk pulang bercuti.

“Sebanyak 100 laporan atau borang balik kampung yang dibuat oleh masyarakat dan pihak Polis telah melakukan sebanyak 1189 lawatan ke kediaman tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Idris turut berkata sepanjang tempoh Op Selamat 19, sebanyak 157 operasi telah dijalankan dan 6,845 keping saman telah dikeluarkan terhadap pengguna jalanraya atas pelbagai kesalahan.

“Seramai 19 orang telah ditangkap di bawah Seksyen 45(1) APJ 1987 (Mabuk), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

“Sebanyak 44 buah kenderaan pelbagai jenis telah di rampas/sita atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Beliau menzahirkan harapan agar semua lapisan masyarakat dan pengguna jalan raya amnya sentiasa berhati-hati serta mengamalkan sikap bertolak ansur semasa memandu di jalan raya.

“Keselamatan di jalan raya adalah menjadi tanggungjawab kita bersama agar kita dapat mengurangkan jumlah kemalangan semasa musim perayaan ini.

“Semoga perayaan Tahun Baru Cina 2023 ini disambut dengan meriah dan selamat,” katanya.