TAWAU, SABAH – Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) membayar sejumlah RM21,299,702 dividen tahun 2022 kepada seramai 908 peneroka di Wilayah Timur.
Pengerusi LKTNS, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,399,210 adalah tabungan peneroka yang akan diagihkan pada setiap hujung tahun.
Menurutnya, purata dividen peneroka adalah RM1,955 sebulan, melebihi sasaran RM1,600 sebulan.
“Daripada angka tersebut, seramai 261 peneroka Ladang Apas Balung/Merotai menerima dividen berjumlah RM9,895,034.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 4,362,801 adalah tabungan, manakala purata pendapatan adalah RM3,715 sebulan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Simbolik Penyerahan Pendapatan Peneroka bagi Ladang Apas Balung dan Merotai di pejabat Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) LKTNS, Apas Balung pada Jumaat lepas.
Abdul Ghani dan Pengurus Besar LKTNS, Encik Syaheddrul R Joddari telah menyerahkan dividen kepada para peneroka terlibat.
Majlis itu turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang.
Sementara itu Syaheddrul berharap dengan agihan pendapatan itu, akan meningkatkan lagi keyakinan peneroka untuk terus menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh LKTNS demi kebaikan dan jaminan masa depan bersama.





