KUALA LUMPUR – Skuad badminton negara gagal meneruskan kemaraan ke separuh akhir Piala Thomas selepas tewas 0-3 kepada musuh tradisi, Indonesia pada aksi suku akhir di Aarhus, Denmark, malam tadi.
Pada aksi perlawanan malam tadi, pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang menjadi sandaran negara telah gagal dalam misi mengutip mata pertama selepas tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting dalam aksi di Arena Ceres dengan straight set 15-21, 17-21.
Harapan yang diletakkan ke atas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk kembali menyamakan kedudukan juga tidak kesampaian apabila mereka tunduk di tangan pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideo-Kevin Sanjaya Sukamuljo 17-21, 21-16, 15-21.
Bintang muda negara, Ng Tze Yong yang menggalas tanggungjawab sebagai perseorangan kedua memberikan petanda positif dalam awal perlawanannya untuk sekurang-kurangnya menghidupkan kembali perjuangan skuad negara tetapi terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set di tangan Jonathan Christie 21-14, 19-21, 16-21.
Keputusan itu menyaksikan skrip sama berulang buat Malaysia apabila turut tewas di tangan Indonesia 1-3 di peringkat yang sama pada edisi 2018 di Bangkok.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk menjulang kejuaraan Piala Thomas yang kali terakhir berjaya dimenangi sewaktu menjadi tuan rumah edisi 1992 di Kuala Lumpur.