PENAMPANG, SABAH – Dua puluh (20) kenderaan dari jumlah 5,220 yang diperiksa di empat (4) Sekatan Jalan Raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 daerah ini telah diarah untuk berpatah balik.
Statistik yang agak kecil pada hari kedua penguatkuasaan itu adalah kerana tahap pematuhan penduduk yang tinggi kata Ketua Polis Daerah DSP Mohd Haris Ibrahim.
“Mereka diarahkan untuk berpatah balik kerana tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana melebihi kapasiti individu yang dibenarkan di dalam kenderaan,” katanya.
Haris ditemui media malam tadi semasa membuat tinjauan di premis Plaza 333 yang merupakan salah satu pusat hiburan terkenal penduduk Penampang.
Katanya pihak polis mendapati kesemua pemilik premis kawasan daerah ini mematuhi SOP dengan menutup premis perniagaan sebelum pukul 7 malam.
“Hanya sembilan kompaun dikeluarkan setakat ini, antaranya disebabkan tidak memakai pelitup muka, berbasikal dan melakukan aktiviti berjoging di luar kawasan kejiranan…
“Kadar pematuhan berada pada 95 peratus. Ini sesuatu yang bagus, dan kita harapkan ini boleh dikekalkan dan ditambahbaik.
“Penduduk Penampang dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP kerana pihak polis tidak mahu membebankan hidup mereka dengan nilai kompaun yang tinggi,” katanya.
Haris mengingatkan polis tidak lagi akan menggunakan budi bicara tapi sebaliknya terus mengeluarkan kompaun pada PKP kali ini.